Friday, 8 November 2013

Tikam: Tempoh reman anggota TLDM dilanjut


IPOH - Tempoh reman seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dipercayai membunuh ahli perniagaan wanita di Apartment Bukit Permata dekat Lumut di sini dilanjutkan selama tujuh hari bermula esok.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Jaafar Baba berkata perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Manjung bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci.

"Kita sedang mengumpul maklumat bagi mengukuhkan kertas siasatan termasuk menunggu laporan bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 31 Okt lepas, Nariza Mustapha, 32, ibu kepada dua anak ditemui mati dengan keadaannya terbaring akibat ditikam di dada menggunakan senjata tajam di dalam bilik tidurnya di apartment itu pada pukul 7.30 pagi.

Susulan kejadian itu, polis menahan anggota TLDM terbabit untuk membantu siasatan. - Bernama

Bapa Lan Pet Pet meninggal dunia

SHAH ALAM - Bapa kepada pelakon dan pelawak terkenal, Lan Pet Pet, Ahmad Mahmood, 87, meninggal dunia di rumahnya di Lorong Panglima, Alor Star petang tadi.

Menurut abang kepada Lan atau nama sebenarnya Mazlan, Allahyarham yang merupakan pesara Telekom Malaysia Berhad tidak menghadapi sebarang penyakit dan meninggal dunia akibat sakit tua pukul 2.25 petang.

"Arwah hanya sakit tua dan tidak mengalami sebarang demam cuma tidak lalu makan sejak beberapa hari lalu.

"Selasa lalu kami adik-beradik termasuklah Mazlan sempat berkumpul dan bersembang dengan arwah," katanya dipetik sebuah portal.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Asma Abdullah, 86, dan sembilan orang anak serta 36 cucu.

Menurut Mahadzir (abang Lan), jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Derga, Langgar di sini kira-kira pukul 11 pagi esok.


Sinar Harian