Monday, 4 November 2013

Pahang tamat kemarau 21 tahun

Piala Malaysia

PAHANG menamatkan penantian selama 21 tahun bagi menjulang Piala Malaysia apabila mengalahkan juara bertahan Kelantan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Shah Alam di sini, malam ini.

Penyerang import dari Argentina, Matias Ruben Conti muncul wira skuad Tok Gajah selepas menyumbat gol tunggal menerusi tandukan pada minit ke-58 selepas memanfaatkan hantaran daripada Azamuddin Mohd Akil.

Kemenangan itu merupakan kejayaan ketiga Pahang merangkul piala berprestij itu selepas tahun 1983 dan 1992.

Pada pertarungan antara pasukan gergasi Pantai Timur itu musim ini, kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan seimbang dengan melancarkan serangan berbahaya namun gagal menyudahkan sebarang percubaan pada separuh masa.

Pemain tengah Kelantan, Indra Putra Mahayuddin gagal menggunakan peluang terhidang pada minit ke-18 apabila sepakan percuma daripada jarak 20 meter hanya sedikit melepasi pintu gol Pahang yang dijaga rapi oleh Khairul Azhan Khalid.

Pemain skuad Tok Gajah, R.Surendren hampir meletakkan pasukan berkenaan di hadapan pada minit ke-27 namun sepakan beliau terkena tiang gol Kelantan.

Selepas Conti membuka tirai jaringan, Kelantan di bawah bimbingan jurulatih Bojan Hodak terdesak dancuba mencari gol penyamaan dengan rembatan kencang oleh Dickson Nwakaeme tidak berhasil apabila ditepis keluar oleh penjaga gawang Pahang.

Kelantan gagal memanfaatkan peluang apabila sepakan percuma yang dilakukan oleh kapten pasukanya Mohd Badhri Mohd Radzi pada minit ke-76 tersasar dari gawang gol.

Khairul Azhan sekali lagi bertindak cemerlang untuk pasukan 'Tok Gajah' apabila menafikan cubaan bahaya yang dilakukan oleh Nwakaeme pada minit ke-84.

Penyerang pasukan Pahang, Azamuddin Mohd Akil dinobatkan sebagai pemain terbaik final Piala Malaysia 2013.

Walaupun cuaca hujan sepanjang petang ini, lebih 85,000 penyokong dari kedua-dua pasukan dengan lautan kuning dan merah mula memenuhi stadium sejak dari pukul 7 jam tadi.

BERNAMA

Mikrocip pengintip dalam cerek

Mikrocip pengintip dalam cerek
Cerek yang diimport dari China didakwa mengandungi mikrocip tersembunyi untuk tujuan pengintipan.


SAINT PETERSBURG - RUSIA. Pelbagai cara dan medium digunakan untuk melakukan pengintipan.

Laporan terbaru yang didedahkan penyiasat Rusia mendakwa bahawa perkakas rumah diimport dari China mengandungi mikrocip tersembunyi yang menghantar data dan malware ke dalam rangkaian WiFi.

Menurut media tempatan pada laporan DailyMail, penemuan hampir 30 buah cerek dan seterika dengan mikrocip pengintip didedahkan selepas Kesatuan Eropah melancarkan siasatan ke atas Rusia yang didakwa cuba mendapatkan maklumat daripada telefon dan komputer pada sidang kemuncak G20 bulan lalu.

Ia sekali gus membawa kepada spekulasi bahawa cip yang ditemui pada perkakas rumah berupaya mencuri data dan menghantar semula ke pelayan China.

Bagaimanapun, menurut akhbar The Register, adalah mustahil untuk menghasilkan mikrocip pengintip yang kecil untuk disembunyikan di dalam cerek.

- melalui Sinar Harian