Monday, 14 October 2013

Pedrosa menang di Malaysia, Marquez kekal pendahulu kejohanan

Pedrosa menang di Malaysia, Marquez kekal pendahulu kejohanan

SEPANG:  Pelumba Sepanyol Dani Pedrosa dari Pasukan Repsol Honda menjulang kejuaraan kedua dalam perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia di Litar Sepang hari ini.

Meskipun berdepan kecederaan yang dialami dalam perlumbaan di Aragon, Pedrosa mencatat masa 40 minit 45.191 saat, lebih 2.757 saat untuk mendahului rakan senegara yang juga rakan sepasukan merangkap pendahulu kejohanan, Marc  Marquez.

Pelumba pasukan Yamaha Factory Racing Jorge Lorenzo, yang merupakan juara bertahan, di tempat ketiga selepas mencatat masa 40:51.860s.

Kejayaan di Malaysia merupakan yang ketiga buat Pedrosa pada musim ini selepas menang berturut-turut pada Grand Prix Sepanyol di Jerez (5 Mei) dan Grand Prix Perancis di Le Mans (19 Mei).

Pedrosa masih berpeluang merangkul kejuaraan pada Kejohanan MotoGP 2013 dan ketinggalan 54 mata di belakang Marquez dengan baki tiga perlumbaan.

Selepas Grand Prix Motosikal Malaysia 2013, Marquez kekal mendahului dengan 298 mata diikuti Lorenzo yang mengumpul 255 mata manakala Pedrosa di tempat ketiga dengan 244 mata.

Bermula di petak keempat, Lorenzo mendahului perlumbaan pada peringkat awal sebelum Pedrosa mengambil alih kedudukan di posisi depan.

Selepas Malaysia, perlumbaan MotoGP akan berlangsung di Litar Phillip Islands di Victoria, Australia dari 18 hingga 20 Okt.

Berikut ialah kedudukan penunggang selepas MotoGP Malaysia 2013 di Sepang hari ini.
MOTOGP
------
1. Marc Marquez (SPA) Repsol Honda Team - 298 mata

2. Jorge Lorenzo (SPA) Yamaha Factory Racing - 255

3. Dani Pedrosa (SPA) Repsol Honda Team - 244

4. Valentino Rossi (ITA) Yamaha Factory Racing - 198

5. Cal Crutchlow (GBR) Monster Yamaha Tech 3 - 166

6. Alvaro Bautista (SPA) GO&FUN Honda Gresini - 136

7. Stefan Bradl (GER) LCR Honda MotoGP - 135

8. Andrea Dovizioso (ITA) Ducati Team - 120

9. Nicky Hayden (USA) Ducati Team - 102

10. Bradley Smith (GBR) Monster Yamaha Tech 3 - 89

11. Aleix Espargaro (SPA) Power Electronics Aspar - 83

12. Michele Pirro (ITA) Pramac Racing Team - 50

13. Andrea Iannone (ITA) Energy T.I. Pramac Racing - 47

14. Colin Edwards (USA) NGM Mobile Forward Racing - 32

15. Hector Barbera (SPA) Avintia Blusens - 29

16. Randy De Puniet (FRA) Power Electronics Aspar - 27

17. Danilo Petrucci (ITA) Came IodaRacing Project - 23

18. Yonny Hernandez (COL) Ignite Pramac Racing - 17

19. Hiroshi Aoyama (JPN) Avintia Blusens - 13

20. Claudio Corti (ITA) NGM Mobile Forward Racing - 11

21. Ben Spies (USA) Pramac Racing Team - 9

22. Alex de Angelis (RSM) NGM Mobile Foward Racing - 5

23. Karel Abraham (CZE) Cardion AB Motoracing - 5

24. Michael Laverty (GBR) Paul Bird Motorsport - 3

25. Bryan Staring (AUS) GO&FUN Honda Gresini - 2

26. Javier Del Amor (SPA) Avintia Blusens - 1


- BERNAMA, Oktober 13

Orang ramai dinasihat tak timbul kekacauan sempena keputusan isu kalimah Allah hari ini

Orang ramai dinasihat tak timbul kekacauan sempena keputusan isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR:  Polis menasihatkan orang ramai tidak mengganggu ketenteraman awam sempena keputusan isu kalimah Allah yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini, 14 Oktober.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata polis sememangnya menyedari perkembangan tersebut dan telah bersedia dalam menempatkan anggota polis dalam mengawal orang ramai yang berada di Istana Kehakiman.

“Kita menyedari perkara ini dan dijangka esok akan ramai orang membanjiri mahkamah untuk mendengar keputusan tersebut dan kita telah pun bersedia dalam mengawal keadaan yang dijangka akan menempatkan beberapa anggota polis di setiap lokasi berhampiran mahkamah,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.

Beliau bagaimanapun tidak dapat menyatakan berapa ramai keanggotaan yang dikerah dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di mahkamah esok namun menegaskan bahawa anggotanya akan dikerahkan di beberapa kawasan dalam menjaga sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Anggota polis akan berada di situ (mahkamah) sebelum mahkamah memulakan sidangnya pada jam 8.30 pagi dan kita mengharapkan tiada sebarang insiden buruk yang akan berlaku selepas keputusan diumumkan mahkamah,” katanya lagi.

Pada 10 September lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, telah menangguhkan keputusan rayuan ke 14 Oktober selepas mendengar hujah rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah'.

Isu kalimah Allah telah dibawa ke Mahkamah Rayuan oleh kerajaan selepas Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penerbitan mingguan Katolik, The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan batal pada 31 December 2009.

Pada 16 Februari, 2010, gereja itu memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden.

Mereka menuntut perisytiharan keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

- ASTRO Awani