Friday, 27 September 2013

Suspek kes ugut Ketua Polis Pulau Pinang diberkas

Polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes ugutan terhadap Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar Isnin lalu.

Difahamkan, suspek bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan di sekitar kawasan Klang, Selangor awal pagi tadi.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown dan direman selama tiga hari bermula hari ini.

Sebelum ini, Abdul Rahim dilaporkan menerima SMS ugutan yang dihantar melalui telefon bimbitnya ketika berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.

Difahamkan, kiriman SMS oleh individu yang tidak dikenali itu mengandungi ayat ugutan kerana tidak berpuas hati apabila lima rakannya ditembak polis bulan lalu.

Kandungan SMS yang diterima Abdul Rahim adalah ‘Hello kepala penang, mau kasi ingat, u sudah ambil saya punya kawan lima orang, u jangan ingat u the best, u jaga u punya body, tak dapat u, u punya kawan saya ambil. Jaga-jaga’.

Abdul Rahim membuat laporan sehari selepas menerima ugutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Sementara itu, Ketua Polis Derah Timur Laut,Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu.


- Sinar Harian 

'Bang...saya takut mak marah'

'Bang...saya takut mak marah'
Pasangan berkenaan diambil keterangan oleh penguat kuasa Jaij


BATU PAHAT - “Jangan macam ni bang, nanti mak saya marah,” itu rayuan seorang pemuda awal 20-an setelah ditahan berdua-duaan bersama pasangannya di sebuah hotel di Ayer Hitam, malam semalam.

Pemuda berkenaan yang memberi banyak alasan turut merungut serta menyatakan dia tidak melakukan kesalahan, cuma menemani kekasihnya di bilik hotel sementara menunggu hari siang.

Timbalan Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, semasa serbuan, pemuda berkenaan dan pasangannya mengambil masa untuk membuka pintu hotel.

Katanya, sebaik membuka pintu berkenaan pemuda itu memberi pelbagai alasan termasuk menemani ‘anak saudaranya’ yang takut tinggal di hotel itu seorang diri.

“Pemuda berkenaan turut memberi pelbagai alasan lain seperti membeli makanan, menemani pasangannya serta hanya singgah sebentar dan akan pulang selepas itu.

“Pemuda berkenaan turut mengaku menipu ibunya, di mana dia menyatakan akan ke Segamat tetapi sebenarnya singgah di hotel di Ayer Hitam ini untuk bersama kekasih.

“Operasi ini turut disertai beberapa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya selepas rutin operasi mencegah maksiat di daerah ini, semalam.

Menurut Saiful, walau apa juga alasan diberikan, pemuda dan pasangannya tetap melakukan kesalahan kerana berdua-duaan secara berkurung sehingga menimbulkan syak.

Katanya, pasangan berkenaan kini ditahan dan akan didakwa mengikut Seksyen 27 (1) (a) (b), Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997

“Pasangan ini akan dihadap ke mahkamah selepas siasatan kes kesalahan yang mereka lakukan ini selesai.

“Operasi ini bertujuan membendung kegiatan sumbang yang makin menular di kalangan anak muda yang semakin membimbangkan semenjak akhir-akhir ini.

“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap, dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan berpotensi kelakuan seperti ini,” katanya.


Sumber