Friday, 27 September 2013

Minyak RON95 naik lagi?

Minyak

Orang ramai boleh menjangka kenaikan selanjutnya pada harga petrol RON95 dalam masa terdekat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan subsidi bahan api negara.

Langkah ini juga membantu usaha mengurangkan penyeludupan petrol ke negara-negara jiran, kata Presiden Persatuan Pengedar Petroleum (PDAM), Datuk Hashim Othman.

"Penyeludupan petrol dan diesel adalah berikutan bahan api ini lebih murah di Malaysia," kata beliau kepada Bernama.

Menurut laporan akhbar, Unit Anti Penyeludupan Kedah (UPP) pada Jumaat lepas melumpuhkan percubaan menyeludup 27,300 liter diesel bersubsidi bernilai RM54,600 ke Thailand.

Di sebalik usaha untuk membantu orang ramai menerusi subsidi, beliau kesal terdapat juga pihak yang mengambil kesempatan daripadanya.

Presiden PDAM itu berkata, pengurangan subsidi itu boleh menghalang mereka daripada menjalankan aktiviti itu.

Kerajaan baru-baru ini memperkenalkan harga baharu bagi RON95 dan diesel dengan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen seliter kepada RM2.10 dan RM2.00 daripada RM1.90 dan RM1.80.

Harga ini masih dianggap murah berbanding negara-negara seperti Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.

PDAM baru-baru ini mencadangkan penjimatan daripada pengurangan subsidi minyak digunakan oleh kerajaan untuk menghapuskan cukai jalan dan mengurangkan kadar insurans untuk kereta dengan kapasiti enjin kurang daripada 2,000cc.- Bernama


2.45 juta rakyat Thai terjejas banjir, 13 maut setakat ini

2.45 juta rakyat Thai terjejas banjir, 13 maut setakat ini

Banjir di Thailand diramal semakin buruk berikutan hujan lebat dijangka berterusan sehingga minggu depan terutama di sekitar kawasan utara dan timur.

Setakat ini, 13 orang meninggal dunia dan seramai 2.45 juta daripada 65 juta penduduk terjejas akibat banjir.

Pengarah Jabatan Mitigasi dan Pencegahan Bencana Thailand Chatchai Promlert berkata lapan orang meninggal dunia di Surin dan tiga di Srisaket yang terletak di timur laut negara itu manakala dua lagi di Nakorn Guinea, di kawasan tengah negara itu.

Berdasarkan statistik untuk tempoh 17 hingga 27 Sept, 30 daripada 77 wilayah Thailand terjejas akibat banjir membabitkan 210 daerah dan 9,482 buah kampung.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan nasihat hari ini mengenai kejadian hujan berikutan tekanan agak kuat dari China.

Jurucakap jabatan menasihatkan penduduk agar berwaspada dengan keadaan cuaca buruk bermula tempoh 30 Sept hingga 1 Okt.

Katanya, tekanan rendah tropika di Laut China Selatan yang terletak berhampiran Filipina dijangka bertambah buruk berikutan ribut tropika, bergerak ke tengah Vietnam semasa  tempoh berkenaan.

Keadaan ini akan memberi kesan langsung ke atas bahagian timur laut Thailand, menurut jurucakap itu.

- BERNAMA