Saturday, 21 September 2013

Baju dalam di pagar asrama

Baju dalam di pagar asrama
Sekeping kadbod bertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar.


BAGAN SERAI - Bukan hanya baju dan seluar, malah pakaian dalam pelajar perempuan turut digantung pada pagar asrama sekolah.

Itu tindakan dilakukan pengurusan asrama sebuah sekolah agama di Kerian yang mendakwa ia sebagai hukuman dan denda terhadap pelajar yang gagal menuntut pakaian mereka.

Bapa seorang pelajar sekolah itu yang hanya ingin dikenali sebagai Shafie, 49, berkata, dia kesal dengan tindakan tersebut yang disifatkannya tidak wajar.

Menurutnya, tindakan keterlaluan dan memalukan pelajar itu diketahuinya ketika menghantar anak perempuannya pulang ke asrama Ahad lalu.

"Tindakan pihak pengurusan asrama sekolah ini sememangnya mengejutkan ibu bapa.

"Pakaian anak-anak kami digantung dan dipamerkan di pagar dan sekeping kadbod tertulis ‘Pakaian Yang Tidak Dituntut Oleh Pelajar’ turut diletakkan pada pagar," katanya kepada Sinar Harian.

Shafie berkata, pihak pengurusan sekolah sepatutnya mempertimbangkan hukuman lain yang lebih wajar.

“Kes ini sebenarnya hukuman terbaru dikenakan pengurusan asrama selepas hukuman denda keterlaluan lain dikenakan sebelum ini terhadap beberapa pelajar perempuan di sini, termasuklah hukuman ketuk ketampi sebanyak 100 kali diselangi berjalan itik sejauh 200 meter pada 26 Jun lalu.

“Persoalannya, mengapa tidak dikenakan hukuman lebih rasional terhadap pelajar yang bersalah?.

"Saya gesa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menyiasat isu ini supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.

Shafie berkata, susulan insiden itu, pihaknya mengemukakan aduan bertulis kepada pihak pentadbiran sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian dan JPN Perak.

Menurutnya, tujuan aduan dikemukakan bukannya untuk mempertahankan kesalahan dilakukan pelajar tetapi mahu pihak pengurusan asrama sekolah terbabit lebih rasional dalam mengenakan hukuman ke atas mereka.

Katanya, tindakan mengantungkan pakaian dalam bukan hanya memalukan pelajar perempuan sekolah itu malah menjadikan mereka trauma kerana diejek pelajar lelaki yang menetap di blok bertentangan asrama pelajar perempuan.

Dia berkata, sebelum ini anaknya dan pelajar perempuan lain pernah dikenakan hukuman lain yang disifatkannya juga tidak wajar.

“Saya mendesak pentadbiran sekolah memberi jaminan kejadian sebegini tidak berulang memandangkan tindakan menjatuhkan hukuman keterlaluan ke atas pelajar seolah-olah sudah menjadi budaya sekolah ini,” katanya.

Sementara itu, pengurusan sekolah itu enggan mengulas isu tersebut kerana Sinar Harian difahamkan, pihak terbabit tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan tanpa kebenaran pihak JPN.

Sumber

Wanita berbaju kurung jadi sasaran penjenayah

Pakai baju kurung mudah dirogol
Demonstrasi khas bagaimana penjenayah mengambil kesempatan tanpa mangsa menyedarinya.


Wanita yang memakai baju kurung mudah menjadi sasaran penjenayah.

Pegawai Perhubungan Awam AMANITA PDRM, Inspektor Q Sheila berkata, berdasarkan trend kes rogol terkini, kebanyakan mangsa yang memakai baju kurung mudah menjadi mangsa disebabkan pakaian itu.

Menurutnya, pakaian itu juga boleh dijadikan peralatan untuk memudahkan suspek melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Saya tidak cakap tidak boleh pakai baju kurung, tetapi wanita harus berhati-hati kerana pelaku ini berada di mana sahaja. Jadi sebagai wanita tidak seharusnya kita memberi peluang kepada mereka,” katanya ketika memberi ceramah pada Kempen Pencegahan Jenayah & Keganasan Terhadap Wanita dengan kerjasama KRT Taman gasing Indah, di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Menurutnya, aksesori lain yang sering dipakai oleh wanita pada tubuh badan tanpa disedari juga berisiko menjadi senjata kepada penjenayah.

“Klip rambut, beg tangan, kerongsang boleh digunakan penjenayah sebagai senjata kerana ada kes barang ini digunakan untuk mencederakan mangsa. Jadi kena kurangkan pemakaian aksesori pada tubuh,” katanya.

Selain itu, wanita juga perlu bijak sekiranya berada berseorangan terutama di dalam lif dan kawasan tempat letak kereta.

“Berdiri dalam posisi yang rapat dengan dinding lif juga membantu agar penjenayah tidak boleh mengambil kesempatan, begitu juga ketika meletakkan kenderaan di parkir yang sunyi, sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling sebelum masuk dan keluar dari kenderaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan agar wanita mempunyai peralatan bagi menangkis serangan penjenayah.

“Peralatan ini banyak di pasaran, boleh beli mana yang sesuai dan lazimnya pilihlah peralatan yang mudah dibawa dan digunakan,” katanya.

Sumber