Thursday, 5 September 2013

Kerajaan bakal umum kadar baru bagi bantu golongan pertengahan

Ahmad Maslan: Kerajaan bakal umum kadar baru bagi bantu golongan pertengahan

Kerajaan bakal mengumumkan kadar baharu bagi membantu golongan pertengahan setelah menjalankan kajian mengenainya, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata kerajaan mungkin menaikkan paras pendapatan bulanan antara   RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, bagi melayakkan mereka untuk memperoleh bantuan berkenaan.

"Namun, bentuk bantuan masih dikaji, dan keputusannya akan diumumkan dalam Pembentangan Belanjawan 2014," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Sersol Bhd dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan, akan membentangkan Belanjawan itu pada 25 Okt.

Ahmad berkata selain itu, penduduk luar bandar merupakan antara fokus kerajaan kali ini dengan pembangunan di kawasan tersebut akan dipercepat.

Selain itu, kerajaan juga merancang meningkatkan aktiviti untuk perusahaan kecil dan sederhana, katanya.
"Selain memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan fokus ini, kerajaan juga menggalakkan program satu daerah satu industri (SDSI)," katanya.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dilaporkan berkata kerajaan akan mengumumkan beberapa pendekatan atau inisiatif bagi mengurangkan bebanan golongan kelas pertengahan dalam Belanjawan 2014.

Menurutnya langkah itu diambil berikutan golongan kelas pertengahan sehingga kini masih belum menerima manfaat daripada pelbagai dasar kerajaan, berbanding golongan berpendapatan rendah.

"Golongan berpendapatan rendah, sebagai contoh, dijangka menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia yang lebih tinggi tahun ini, yang jumlahnya akan diumumkan dalam Belanjawan  2014," katanya.

- BERNAMA 

Agong mulakan lawatan negara ke Vietnam hari ini

Agong mulakan lawatan negara ke Vietnam esok
HANOI:  Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah akan melakukan lawatan negara empat hari ke Vietnam mulai hari ini (5 Sept).

Ini merupakan kali pertama Seri Paduka melawat negara itu selepas ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 11 April tahun lepas.

Seri Paduka sebelum ini pernah melakukan lawatan negara ke Indonesia, Brunei dan bakal menamatkan lawatan ke Thailand hari ini.

Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah dijadual tiba di Terminal Khas Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai pada 11 pagi esok (tengah hari waktu Malaysia) menaiki pesawat khas dari Thailand.

Turut berangkat Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Diraja Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Panglima Besar Kedah, Tunku Puteri Intan Syafinaz dan beberapa kerabat diraja yang lain.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua berserta delegasi Malaysia akan disambut Pengerusi Pejabat Presiden Vietnam, Dao Viet Trung (he), Duta Vietnam ke Malaysia, Nguyen Hong Thao, Timbalan Menteri Luar Vietnam, Nguyen Phuong Nga dan beberapa kenamaan negara berkenaan.

Lawatan Seri Paduka antara lain bertujuan memperkukuh hubungan persahabatan serta kerjasama sedia ada antara Malaysia dan Vietnam.

Sempena lawatan itu, Yang di-Pertuan Agong akan menghadiri beberapa majlis keramaian dan menerima menghadap Presiden Vietnam, Truong Tan Sang.

Selain itu, Seri Paduka juga dijadual berangkat ke majlis makan malam bersama kira-kira 200 rakyat Malaysia di sini.

- BERNAMA