Thursday, 29 August 2013

Kedah wartakan enakmen pengharaman Syiah

ALOR SETAR:  Persidangan Dewan Undangan Negeri  Kedah selama tiga hari yang berakhir malam tadi merupakan ujian pertama yang dihadapi Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar ke-10.

Kedah mencatat sejarah apabila menjadi negeri pertama mewartakan enakmen pengharaman penyebaran fahaman Syiah.

Keputusan meluluskan enakmen jenayah Syariah itu dibuat dengan cara undian apabila pembangkang secara prinsip tidak bersetuju dengan pindaan enakmen itu .

Dalam undian berbelah bahagi itu 21 daripada 23 wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyokong manakala 13 wakil rakyat pakatan pembangkang ada yang membantah dan berkecuali.

Menurut Mukhriz pindaaan enakmen dibuat selepas mendapat penjelasan penasihat undang-undang.



- Disiarkan dalam berita Astro Awani, Ogos 28, 2013

Kejadian tembakan meletus berhampiran bangunan Kedutaan Malaysia di Kaherah

Kejadian tembakan meletus berhampiran bangunan Kedutaan Malaysia di Kaherah

KAHERAH:  Bunyi tembakan kedengaran di Gamaat El Dawal pada Rabu, kawasan terletaknya bangunan Kedutaan Malaysia di Mesir.

Tembakan dikatakan mula didengar kira-kira 4.15 petang (waktu tempatan) dan sehingga 6 petang ia masih dilaporkan berlaku.

Pegawai Education Malaysian Egypt, Zaliha Zulkifli berkata insiden dipercayai bermula daripada tembakan rambang dari sebuah bangunan tinggi di kawasan berkenaan ke arah kem kawalan tentera sebelum kedua-dua pihak berbalas tembak.

"Anak saya menghubungi mengatakan rumah tak ada elektrik dan selepas beberapa minit ada bunyi tembakan bertalu-bertalu berhampiran kedutaan.

"Ada juga bunyi bom kedengaran begitu dekat dengan rumah saya yang hanya 50 meter dari kedutaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kali terakhir kejadian sedemikian berlaku ialah pada 14 Ogos lepas.

Kejadian itu turut disahkan Pengarah Education Malaysia Egypt Datuk Dr Su'adi Safei.

"Ketika melintasi dari lebuhr raya, saya nampak kenderaan cuba lari daripada tempat berkenaan.
"Isteri saya turut menghubungi (saya) mendengar bunyi tembakan bertalu-talu dari (kawasan) rumah saya yang 300 meter dari tempat berkenaan," katanya.

Ini menurutnya, mungkin episod permulaan kepada 'Jumaat kemarahan' pada Jumaat ini.

Dr Su'adi dan Zaliha mengikuti delegasi Kementerian Pendidikan yang ke negara bergolak itu sejak Isnin lepas untuk membincangkan isu penuntut Malaysia di sini bersama pihak-pihak universiti di negara ini.

- BERNAMA