Tuesday, 27 August 2013

Nahas Bas Genting Highlands: Mayat yang tak dapat dikenalpasti adalah warga Nigeria

Nahas Bas Genting Highlands: Mayat yang tak dapat dikenalpasti adalah warga Nigeria

KUALA LUMPUR:  Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan mayat wanita yang sebelum ini tidak dapat dikenal pasti selepas terlibat dalam nahas bas di Genting Highlands Rabu lepas, adalah warga negara Nigeria.

Seorang Jurucakap HKL ketika dihubungi Bernama berkata mangsa dikenali sebagai Eitoya Magdalin, umur tidak dapat dipastikan, dan merupakan seorang penuntut.

"Semalam, beberapa rakannya datang ke Jabatan Forensik di sini dan selepas membuat pengecaman, mengesahkan wanita itu rakan mereka.

"Pada ketika ini usaha sedang dilakukan dengan pihak kedutaan dan pihak polis bagi memaklumkan keluarganya dan seterusnya untuk proses tuntutan mayat," katanya.

Ini menjadikan kesemua 37 mayat yang dihantar ke hospital itu telah dikenal pasti dan tujuh daripadanya masih belum dituntut sehingga pagi ini, katanya.

Jurucakap itu berkata lima lagi mangsa yang menerima rawatan di hospital itu berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu seorang mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Selayang, Nur Fathih Jaafar, 21, dibenarkan keluar hari ini selepas keadaannya semakin pulih.

"Kita masih lakukan pemerhatian terhadap tiga lagi pesakit, Nurul Quraitul Aini, 19, warga Indonesia, Nurfridil Gusman, 23, dan Andri Purwadi, 25," kata Dr Pengarah Hospital Selayang Siti Zaleha Mohd Salleh.

Empat daripada lapan mangsa lagi dipindahkan ke dua hospital lain atas permintaan mereka.

Nahas bas yang terhumban ke dalam gaung sedalam 60 meter di Km3.5 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur pada Rabu lepas meragut 37 nyawa termasuk pemandu manakala 16 lagi cedera.

- BERNAMA 

KDN bakal umum senarai kumpulan kongsi gelap

PUTRAJAYA:  Kementerian Dalam Negeri akan mengumumkan senarai nama kumpulan kongsi gelap serta jenayah yang dilakukan mereka, kata menteri berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ia akan diumum dalam waktu terdekat selepas proses pewartaan selesai dibuat.

"Kami dah ada senarai nama kumpulan yang dikategorikan sebagai pertubuhan haram serta senarai aktiviti jenayah dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan ahli kongres Amerika Syarikat Eni Faleomavaega di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata langkah mendedahkan senarai itu kepada umum ialah untuk membolehkan masyarakat faham bahawa polis bersungguh-sungguh dalam usaha menangani jenayah.

"Ia juga untuk membangkitkan kesedaran bahawa masyarakat perlu bersama-sama mendokong usaha polis membanteras jenayah," katanya.

Menerusi senarai itu juga, beliau berkata masyarakat dapat mengetahui bahawa kegiatan kongsi gelap bukan hanya membabitkan sesuatu kaum sebaliknya melibatkan kaum-kaum lain.

"Ramai yang mengatakan kongsi gelap hanya membabitkan kaum India sedangkan kongsi gelap Melayu dan Cina juga banyak," katanya.

Mengenai Ops Cantas, Ahmad Zahid berkata operasi itu dijalankan di seluruh negara dan bukan hanya tertumpu di Pulau Pinang.

"Tumpuan turut diberikan di seluruh negara dan polis sudah bersiap sedia untuk bertindak kerana telah menghidu beberapa lagi jenayah terancang yang akan dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid menjelaskan keselamatan keseluruhan rakyat lebih penting daripada menjaga jumlah mereka yang akan dikenakan pemakaian peranti pengawasan elektronik (EMD).

"Dalam hal ini bukan soal hak asasi manusia tetapi bagaimana identifikasi untuk menentukan keamanan itu dapat dilaksanakan di negara kita," katanya.

Beliau mengulas mengenai EMD yang akan digunakan ke atas penjenayah tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), menerima kritikan pihak tertentu.

EMD bertujuan mengesan suspek jenayah terancang dan kejam bagi memastikan mereka tidak melakukan jenayah lain semasa dalam jaminan.


- BERNAMA