Monday, 26 August 2013

"Saya tawar diri bertanding untuk jawab tohmahan"



KUALA LUMPUR:  Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim hari ini mengumumkan akan bertanding bagi merebut jawatan Exco Wanita Umno pada pemilihan yang akan diadakan Oktober ini.

Ketua Wanita Umno Bahagian Baling itu menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kali ini kerana beliau berpendapat beliau mempunyai kekuatan dalam menjawab tohmahan dan dakyah yang dilontarkan oleh pembangkang termasuk parti Pas.

“Apabila berhadapan dengan ahli parti Pas, mereka banyak menggunakan isu-isu agama dan dengan kehadiran saya dalam Umno, saya yakin isu ini dapat ditangani.

“Kehadiran saya bukanlah semata-mata untuk mewakili kaum wanita sahaja tetapi juga supaya mampu berdepan dengan pihak pembangkang”.

Ditanya mengenai pemilihan jawatan Ketua Wanita Umno, Mashitah berkata beliau yakin bahawa ahli Umno akan membuat pilihan yang terbaik untuk jawatan tersebut.

“Saya percaya kehadiran saya dapat memberi nilai tambah kepada parti dengan pengalaman saya dan disamping itu, kuasa intelek merupakan satu faktor yang amat penting. Oleh itu saya berharap saya diberi peluang untuk menggalas tugas ini,” tambah beliau.

Sebelum menceburkan diri dalam politik, Mashitah merupakan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Di peringkat akar umbi, beliau menjawat jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian Baling setelah mengalahkan pencabarnya pada persidangan UMNO Bahagian pada 1 November 2008.

Sehingga kini, beliau masih menjadi panel pelbagai forum terutama berkaitan agama yang merupakan bidang kepakaran beliau.

Dalam Pilihan raya umum 2004 Mashitah mengalahkan Ustaz Taib Azamudden Md Taib dari PAS dengan majoriti 4,229 undi.

- Astro Awani 

Enam ditahan, polis rampas bom dan peluru di Pulau Pinang

Enam ditahan, polis rampas bom dan peluru di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM:  Enam orang termasuk dua wanita ditahan dan polis merampas sebutir bom, sejumlah peluru dan sebilah pedang samurai selepas menyerbu sebuah rumah flat di Machang Bubuk di sini awal pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata kesemua mereka berusia 21 hingga 48 tahun itu ditahan dalam Ops Cantas Khas pada pukul 1.30 pagi.

"Berdasarkan maklumat dan intipan yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) menyerbu rumah berkenaan.

Terdapat empat lelaki dan dua wanita dalam rumah itu," katanya katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam rumah itu, polis menemui sebutir bom, masing-masing 10 butir peluru berwarna perak bertulis NCCR .38 SPL dan berwarna kuning bertulis THAI ARMS .38 SPL serta sebilah parang samurai dengan ukiran naga.

"Dua lelaki yang ditahan dalam operasi itu memang dikehendaki polis manakala yang lain mempunyai beberapa rekod jenayah lampau," katanya sambil memberitahu polis akan menyiasat sama ada mereka adalah anggota kumpulan kongsi gelap.

Bernama difahamkan mereka yang ditahan itu merupakan anggota sindiket pengedaran dadah dan menjadikan rumah berkenaan sebagai tempat berkumpul serta menjalankan aktiviti haram kumpulan itu.

Sementara itu, polis akan mengambil keterangan enam lelaki yang cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru ketika sedang minum di sebuah gerai di Taman Kasawari, Simpang Ampat, di sini Sabtu malam.

Mazlan berkata polis juga akan mengambil keterangan pemilik kedai tempat kejadian itu.

Tiga daripada enam yang cedera itu telah dibenarkan keluar daripada Hospital Sungai Bakap, katanya.

Mazlan berkata siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian dan polis tidak menolak kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan perniagaan.

Dalam kejadian pada pukul 10.45 malam itu, enam lelaki yang sedang minum di sebuah kedai cedera selepas terkena tembakan dan serpihan peluru yang dilepaskan dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.


- Astro Awani