Saturday, 17 August 2013

Jangan bawa pemetik api, mancis ke Kota Larangan


Jangan bawa pemetik api, mancis ke Kota Larangan

BEIJING:  Muzium Istana di sini merampas lebih 8,000 pemetik api dan mancis daripada petugas serta pengunjung pada Khamis, iaitu hari pertama larangan membawanya ke kawasan berkenaan dikuat kuasa.

Mulai 18 Mei lepas, petugas dan pengunjung Muzium Istana yang juga dikenali sebagai Kota Larangan, langsung tidak dibenarkan merokok di seluruh kawasan itu.

Langkah itu bagi mengelak risiko kebakaran di muzium berkenaan, kata agensi berita Xinhua yang memetik kuratornya, Shan Jixiang sebagai berkata.

Shan berkata bagaimanapun, pengunjung dibenar mendapatkan kembali pemetik api dan mancis masing-masing di kawasan yang ditetapkan selepas melawat muzium itu.

Kota Larangan merupakan Istana Maharaja China bagi Dinasti Ming dan Qing yang terletak di tengah-tengah kota Beijing, telah diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco pada 1987.

- BERNAMA 

Syabu dalam dompet pegawai polis terbabit kemalangan


Syabu dalam dompet pegawai polis terbabit kemalangan

KUANTAN:  Sejumlah serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu ditemui dalam dompet seorang pegawai kanan polis yang cedera parah dalam kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Serbuk dan ketulan kristal seberat 0.8 gram itu ditemui pihak hospital ketika pegawai berkenaan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan (HTAA) di sini, kata sumber polis.

"Paket plastik lutsinar berisi serbuk dan ketulan kristal yang disyaki syabu itu telah diserahkan petugas hospital kepada pihak polis Ibu pejabat Polis Daerah Kuantan pada 12 tengah hari semalam.

"Siasatan awal mendapati barang kes itu dijumpai pada dompet pegawai polis berkenaan yang bertugas di negeri ini," kata sumber itu kepada Bernama di sini, hari ini.

Menurut sumber itu Bahagian Tatatertib Polis Pahang telah diarah memulakan siasatan terhadap kes berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang ASP Zainalabidin Othman berkata pegawai berkenaan cedera parah apabila kereta yang dipandunya melanggar belakang lori treler membawa muatan konkrit di Jalan Kuantan By Pass pada pukul 7 pagi semalam.

Ketika kejadian pegawai berkenaan dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Gebeng.

"Pegawai itu cedera parah...mengalami pendarahan pada bahagian dalaman perut dan patah lutut kiri," katanya.

- BERNAMA