Tuesday, 13 August 2013

Polis Kelantan tubuh pasukan khas siasat kes letupan bom

Polis Kelantan tubuh pasukan khas siasat kes letupan bom

KOTA BHARU:  Polis Kelantan menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes letupan bom yang menyebabkan kematian seorang kerani di Taman Seri Periuk, Kampung Periuk, Tumpat semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata pasukan itu diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat DSP Shariffuddin Yusof.

Beliau berkata siasatan kes itu dilakukan secara menyeluruh dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk motif kejadian dan bom yang digunakan sama ada ia berupa bom ikan atau yang digunakan puak militan di selatan Thailand.

"Sementara itu siasatan awal mendapati bungkusan itu berisi bahan letupan buatan sendiri.

"Kita telah mengambil sampel daripada saki-baki bahan letupan itu dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk kenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa Mohd Yusrizal Mat Zain, 32, kerani Sekolah Rendah Kebangsaan Manek Urai di Kuala Krai maut selepas dia mengambil bungkusan yang diletak di atas bumbung MPV Naza Citra di halaman rumah mertuanya, yang meletup.

Kedua-dua belah tangannya terputus sementara perutnya terburai.

Mengenai letupan kedua yang kedengaran pada pukul 4.40 petang pada hari yang sama, Mazlan berkata ia bukan berpunca daripada saki baki bahan letupan yang mengenai Yusrizal tetapi dari sampah sarap yang dijumpai dalam bekas polisterin.

Beliau berkata kejadian tersebut merupakan kes terpencil dan orang ramai tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka.

"Kita akan tangani setiap kejadian dengan serius dan saya harap masyarakat turut memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada kami di talian 09-7450999," katanya.

Dalam kes lain, beliau berkata seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Kampung Pantai Damar, Bachok petang semalam kerana disyaki membunuh mangsa yang dikenali sebagai Mohd Nazaimi Mat Nawi, 29.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang sedang tidur di rumah bapa saudaranya maut akibat ditikam dengan pisau sepanjang 18 sentimeter.

Suspek serta mangsa berasal dari tempat yang sama iaitu Kampung Daramain, Perupok.
- BERNAMA 

Shila Amzah lancar album Mandarin selepas album melayu


Shila Amzah lancar album Mandarin selepas album melayu

Shila Amzah membuat keputusan untuk melancarkan album Mandarinnya hanya selepas mempromosikan album Melayu.

Shila ingin memberi tumpuan kepada album melayunya yang berjudul Shila Amzah itu hanya akan dipasarkan selepas raya.

Album Mandarinnya masih lagi dalam pembikinan  kerana Shila terpaksa berulang alik dari Malaysia ke China.

Shila diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu tema program Chinese Idol dan semakin popular di sana. Dia bakal menyampaikan lagu itu secara langsung pada pertandingan akhir Chinese Idol pada 25 Ogos.

Shila mencipta populariti di China selepas menjuarai program realiti Asian Wave tahun lalu. - Astro Awani