Sunday, 4 August 2013

Kes susu dari New Zealand yang tercemar bakteria

Kementerian pantau kes susu dari New Zealand yang tercemar bakteria

KUALA LUMPUR:  Kementerian Kesihatan sedang membuat pengesahan sama ada produk 'Nutricia Karicare follow-on formula products for children from 6 months old' yang disyaki tercemar dengan dengan bakteria clostridium botulinum terdapat di pasaran tempatan.

Ia juga telah mengenakan tindakan Pemeriksaan Tahan, Uji dan Lepas ke atas produk itu sekiranya ia diimport, kata Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan, Noraini Datuk Mohd Othman.

Beliau berkata laporan terkini yang diperoleh daripada Kementerian Perusahaan Utama New Zealand melalui Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia, hanya produk itu sahaja yang disyaki mungkin mengandungi ramuan 'whey protein concentrate' (WPC) tersebut.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, ibu bapa dan penjaga yang menggunakan produk terlibat dinasihatkan supaya tidak menggunakannya dan menggantikan dengan jenama lain buat sementara waktu.

"Kementerian Kesihatan sedang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Malaysia dan akan memaklumkan perkembangan terkini mengenai perkara ini dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya pengguna yang merasa was-was dengan status keselamatan sesuatu makanan dalam pasaran tempatan, boleh memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my.

Awal hari ini, pihak berkuasa New Zealand telah mengeluarkan amaran mengenai produk WPC keluaran syarikat Fonterra yang disyaki telah tercemar dengan bakteria clostridium botulinum yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

WPC tersebut telah digunakan sebagai bahan ramuan dalam formula bayi, susu serbuk membesar dan minuman sukan.

Dilaporkan produk makanan tersebut telah dieksport ke beberapa negara termasuk Malaysia.

Namun sehingga kini, belum terdapat sebarang kejadian keselamatan makanan dilaporkan hasil daripada pengambilan produk makanan tersebut. - BERNAMA 

Empat finalis Miss M'sia World 2013 disah tarik diri - JAWI

Empat finalis Miss M'sia World 2013 disah tarik diri - JAWI

KUALA LUMPUR:  Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengesahkan empat finalis Miss Malaysia World 2013 yang beragama Islam telah menarik diri daripada pertandingan ratu cantik itu yang berlangsung di ibu negara pada Jumaat.

Pengarahnya Datuk Che Mat Che Ali berkata pihaknya telah melakukan beberapa operasi penguatkuasaan di perkarangan premis semasa pertandingan itu dan penganjur memaklumkan keempat-empat finalis telah menarik diri sebelum majlis tersebut berlangsung.

Beliau berkata jika keempat-empat wanita itu tetap terus menyertai pertandingan tersebut, mereka boleh dikenakan tindakan kerana melanggar Seksyen 9 Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

"Hanya 15 wanita bukan Islam sahaja didapati bertanding dan saya mengucapkan terima kasih kepada keempat-empat wanita Islam itu kerana membatalkan hasrat mereka dengan tidak terus mencabar pelaksanaan hukum dan peruntukan akta agama Islam Wilayah Persekutuan.

"Ini menunjukkan mereka faham dan menghormati undang-undang, malah saya harap mereka tidak lagi mengulangi perbuatan tersebut dan mana-mana individu lain seharusnya mengambil iktibar daripada insiden itu agar tidak berulang," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Che Mat berkata penguatkuasaan yang dilaksanakan pihaknya terhadap isu pertandingan ratu cantik itu sepatutnya dijadikan platform agar semua umat Islam terus meninggalkan kegiatan seumpama itu.

Mengulas mengenai klip video '1 Hari di Hari Raya' yang disebarkan di laman sosial baru-baru ini, Che Mat berkata jika ada kes sedemikian berlaku di Wilayah Persekutuan, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap kesalahan tersebut.

Katanya perkara seperti itu tidak patut terus dibiarkan kerana saban hari, semakin banyak kes menghina kesucian Islam timbul malah umat Islam tidak perlu terus diuji seperti itu.

"Jika ada kami kesan kes menghina agama Islam di sini, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta 505 Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993," katanya. - BERNAMA