Friday, 26 July 2013

Anggota tentera maut dipanah petir ketika latihan

Anggota tentera maut dipanah petir ketika latihan

KOTA TINGGI:  Seorang anggota tentera maut manakala rakannya cedera akibat dipanah petir ketika menjalani latihan hutan di kawasan air terjun berhampiran Kampung Temenin Baru, dekat sini semalam.

Mohd Razid Sadiran, 25, dari Markas 6 Renjer yang berpangkalan di Kuala Lumpur, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya, Azwan Abdullah, 25, dari Markas 14 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpangkalan di Gemas, Negeri Sembilan, dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

Difahamkan ketika kejadian kedua-dua mangsa bersama 11 anggota lain merupakan pasukan pendahulu bagi membuat persiapan sebelum pasukan lain tiba untuk latihan hutan selama seminggu di situ.

Kejadian malang yang menimpa kedua-dua mangsa hanya disedari anggota lain apabila mereka tidak muncul pada waktu berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid yang mengesahkan kejadian itu berkata insiden berlaku ketika hujan lebat apabila mangsa sedang bersiap-siap mendirikan khemah di lokasi kejadian.

"Jenazah Allahyarham Mohd Razid dihantar ke Unit Perubatan Forensik HKT untuk bedah siasat sebelum dibawa pulang dengan van jenazah tentera ke Pusat Latihan Pulada untuk pengurusan jenazah malam tadi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jenazah anak kelima daripada sebelas beradik itu dibawa ke rumah keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Nita, Mersing.

--BERNAMA 

"Penjara not bad," kata Alvin



KUALA LUMPUR:  Alvin Tan yang dipenjara selama lapan hari kerana tidak dibenarkan jaminan atas tuduhan mempersendakan umat Islam dan Ramadan, hanya menyatakan 'not bad' bagi menggambarkan pengalamannya di dalam penjara.

Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai urusan jaminan manakala pasangannya Vivian Lee, yang sentiasa menundukkan kepala enggan memberi komen.

Pada 10 pagi, Alvin dan Vivian, yang masing-masing masih bergari diiringi beberapa anggota polis ke Kaunter Pendaftaran Mahkamah Sesyen/Majistret (Jenayah) bagi urusan jaminan dan kakitangan mahkamah membacakan syarat jaminan.

Kedua-duanya dilihat menandatangani dokumen jaminan sebelum beredar dari kaunter itu kira-kira 20 minit kemudian dan bergegas menaiki dua buah kereta yang menunggu di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini.

Semalam, pasangan itu diikat jamin oleh ibu Alvin dan rakan perempuan mereka sebanyak RM30,000 setiap seorang.

Sementara itu, peguam Chong Joo Tian ketika ditemui pemberita sejurus anak guamnya beredar berkata: "Mereka gembira dapat keluar dari penjara. Mereka perlukan masa untuk berehat".

Pada 18 Julai lepas, Alvin dan Vivian masing-masing ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang selepas Hakim Mahkamah Sesyen Murtazadi Amran tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Namun, semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin membenarkan mereka masing-masing dijamin RM30,000 bersama empat syarat.

Empat syarat itu ialah pasangan itu perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis pada minggu pertama setiap bulan, dilarang memuat naik artikel, komen, gambar lucah serta apa-apa bentuk penulisan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan perkauman serta dihalang menggunakan peranti komunikasi berangkaian bagi mengakses Internet.

--BERNAMA