Wednesday, 24 July 2013

Kementerian Pendidikan siasat dakwaan pelajar makan di tandas

Muhyiddin arah Kementerian Pendidikan siasat dakwaan pelajar makan di tandas
 - Tuesday, Jul 23, 2013KUALA LUMPUR, (Bernama) - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelajar di sebuah sekolah rendah dipaksa makan di dalam tandas.
"Saya telah mengarahkan KPPM untuk siasat isu pelajar bukan Islam yang disuruh makan di dalam tandas. Tindakan tegas akan diambil jika ada asas," kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan di laman Twitter hari ini.
Beberapa gambar tersebar di laman sosial hari ini yang memaparkan sebilangan murid yang dikatakan bukan beragama Islam berada di sebuah bilik menyerupai bilik air, dengan botol air dan bekas makanan berada di atas sebuah meja.
Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan berkata kementerian telah mengarahkan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) supaya memindahkan tempat makan sementara Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh, ke tempat lebih bersih dan munasabah memandangkan kantin sekolah tersebut sedang dibaik pulih.  

Pesawat ringan MFA terhempas di Selat Melaka

Pesawat ringan MFA terhempas di Selat Melaka

MELAKA:  Sebuah pesawat ringan milik Akademi Penerbangan Malaysia (MFA) terhempas di perairan Selat Melaka berhampiran Masjid Selat, Pulau Melaka di sini pada Selasa.

Dua lelaki bersama juruterbang wanita yang berada dalam pesawat jenis Piper PA-28 itu bagaimanapun hanya cedera ringan dalam kejadian pada 8.26 malam.

Mereka ialah Kapten Shar Rom, 27, (juruterbang) serta pembantu juruterbang Fairol Bamil, 23, dan Soh Sien Shoong, 22.

Soh, yang berada di tempat duduk bahagian belakang pesawat, dilapor mengalami calar di belakang badan sementara Shar cedera di kening manakala Fairol cedera ringan.

Mereka kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Ketua Balai Bomba Jalan Kubu Yazid Mohd Tahir, ketika ditemui pemberita, berkata pihaknya menerima panggilan pada 8.41 malam sebelum tiba seminit kemudian dengan satu jentera dan sebuah bot bersama 15 anggota penyelam.

Beliau berkata Shar dan Soh berenang kira-kira 400 meter ke pantai sebelum mendapatkan bantuan orang ramai, termasuk Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron, yang berada di Masjid Selat.

Katanya, bomba kemudian menjalankan operasi mencari dan menyelamatkan Fairol sebelum menemui mangsa yang terapung pada 9.30 malam.

"Ketika tiba di lokasi, mangsa tidak berpaut pada apa-apa dan menggunakan lampu suluh bagi membantu pihak bomba mengesan kedudukannya," katanya sambil menambah punca kejadian masih disiasat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Shah Gzali Khan Shahadat berkata polis marin dan bomba akan menyambung operasi mengesan pesawat yang terhempas selepas menamatkan operasi pada 11 malam.


- BERNAMA