Sunday, 21 July 2013

Lelaki hanya berseluar dalam mati tersepit ketika mencuri

Lelaki hanya berseluar dalam mati tersepit ketika mencuri


IPOH:  Cubaan seorang lelaki memecah masuk sebuah rumah di Taman Saz Silibin di sini gagal apabila dia mati dalam keadaan tersepit di besi tingkap bahagian dapur.

Suspek berumur 27 tahun ditemui mati dengan hanya memakai seluar dalam dan hasil bedah siasat mengesahkan bahawa dia mati kerana sesak nafas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata dalam kejadian kira-kira pukul 12 malam tadi, mangsa lelaki berumur lingkungan 50-an yang baru pulang ke rumah terkejut menemui suspek di dapur dalam keadaan tersepit dengan kaki di luar dan kepala di dalam rumah.

"Ketika kejadian tiada sesiapa di rumah. Suspek bertindak masuk mengikut tingkap nako berdasarkan kesan dan alat pemotong besi yang berada di situ, namun malangnya mangsa tersepit di bahagian besi tingkap," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Suspek tidak sempat masuk ke rumah mangsa dan polis hanya menemui baju suspek serta peralatan untuk memecah masuk rumah, katanya.

Katanya sebaik tiba di tempat kejadian, pihak hospital mengesahkan suspek telah mati dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.



- BERNAMA, July 20

Oh tidak! Singapura diramal jerebu lagi

SINGAPURA:  Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) meramalkan Singapura mungkin mengalami jerebu beberapa hari lagi.

Ia berikutan cuaca kering dijangka berlaku dalam tempoh masa dua hari lagi di beberapa bahagian di Sumatera.

Jelas NEA, jika berlaku perubahan arah angin dari arah barat, Singapura mungkin mengalami jerebu.

Amaran akan dikeluarkan sekiranya keadaan itu berlaku.

Jumlah titik panas di Sumatera yang dikesan satelit NOAA 18 juga meningkat dengan cepat sejak dua hari lalu sehingga mencecah 159 pada Sabtu.

63 daripada titik berkenaan dikesan di wilayah Riau di Sumatera Tengah, kira-kira 280 km dari Singapura.

Angin kini bertiup dari arah tenggara atau selatan namun asap belum lagi bertiup ke arah Singapura.

Sesetengah negeri di Semenanjung Malaysia mengalami kemerosotan kualiti udara sejak lewat pagi Sabtu dengan bacaan indeks pencemaran udara paling tinggi iaitu 105 dicatat pada tengah hari Ahad di Bukit Rambai, Melaka.


- Astro Awani