Sunday, 21 July 2013

Rekod dunia mesin kapsul layan diri terbesar

KUALA LUMPUR:  Berjaya Times Square menempa nama dalam Guinness World Records dengan mesin kapsul layan diri terbesar setinggi 9.82 meter.

Mesin yang dirancang sebelum direka dalam proses selama enam bulan dibina sempena sambutan sepuluh tahun pusat beli belah tersebut.

Ia disahkan pengadil rasmi Guinness World Records, Jack Brockband

Sebelum ini, Berjaya Times Square memegang rekod taman tema tertutup terbesar selain pernah membina replika kepala singa dan pohon bunga terbesar negara.

Dengan kejayaan itu, pusat beli belah berkenaan menawarkan 150 token percuma kepada pengunjung.

Mereka hanya perlu membelanjakan RM50 dalam satu resit bagi menebus token berkenaan.

Pengunjung berpeluang mendapatkan hadiah daripada permainan mesin layan diri yang disediakan dan hadiah keseluruhan disediakan berjumlah RM500,000.



- Astro AWANI

Kerajaan beri amaran keras kepada pengganas Sulu

Kerajaan beri amaran keras kepada pengganas Sulu

BAGAN DATOH: Kerajaan memberi amaran kepada pengganas Sulu supaya jangan cuba mengugut untuk masuk semula ke Sabah bagi tujuan membalas dendam selepas insiden pencerobohan Februari lepas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan polis dan tentera yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang ancaman kumpulan itu.

"Jangan cuba ugut kami. Jangan cuba melakukan sesuatu kerana bukan sekadar pihak polis dan tentera malah rakyat Malaysia akan bangun menentang ancaman daripada pengganas Sulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 455 orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup di Bagan Datoh, Sabtu.

Ahmad Zahid mengulas tindakan Polis Sabah yang memulakan siasatan ke atas surat yang kononnya ditulis oleh militan Sulu yang mendakwa mereka akan datang ke Tambunan, Sabah untuk membalas dendam.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dilaporkan berkata polis telah mengesan sumber surat itu walaupun ia disyaki tiada kaitan dengan pencerobohan tentera Sulu di Lahad Datu awal tahun ini.

Menurut laporan itu, surat bertarikh 3 Julai yang ditandatangani oleh 'Komando Militan' bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan memberi amaran bahawa mereka mahu memulakan perang di daerah Tambunan sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampong Tanduo, Lahad Datu, menjelang Ogos ini.

Ahmad Zahid berkata pelbagai khabar angin termasuk kononnya bekas pengerusi Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF), Nur Misuari juga akan datang ke Sabah. "Jangan dengar sebarang khabar angin.

Tidak ada orang nak bagi ugutan atau nak masuk...beritahu (kita) lebih awal. Jika benar mereka hendak masuk dalam bulan Ogos, bulan Julai kita sudah tunggu," katanya.

Beliau mengingatkan seluruh rakyat Sabah jangan memandang ringan ancaman daripada luar kerana pengganas Sulu sememangnya terkenal dengan budaya membalas dendam.

"Kita jangan leka. Kalau kita leka memang mereka akan menceroboh masuk," katanya.


-BERNAMA